Sunday 12 January 2014

SAVING - ANGSA EMAS SAYA!

Teks:  Murni Zuriati




Dalam hukum wajib pengurusan kewangan yang bijak, 3S dimulakan dengan 'saving' atau simpanan.  Sebelum buat apa-apa dengan pendapatan bulanan kita, simpanan seharusnya sudah diasingkan terlebih dahulu.



Anda masih ingat dengan cerita dongeng tentang petani yang mempunyai seekor angsa yang boleh bertelur emas?  Setiap hari angsa tersebut pasti akan menghasilkan sebiji telur emas dan menjadikan petani tersebut kaya-raya.  Semakin lama petani tersebut menjadi semakin tamak.  Beliau mula terfikir, tentu dalam perut angsa tersebut mengandungi banyak telur emas.  Akhirnya, beliau membuat keputusan untuk menyembelih angsa tersebut.  Malangnya, tiada telur emas pun dalam perut angsa tersebut.  Lebih malang lagi, tiada lagi telur emas untuk beliau setiap hari mulai hari tersebut.

Mengikut mentor kewangan saya, mentor Dr Azizan Osman, simpanan adalah umpama angsa emas.  Simpanan adalah subjek yang menjadi penyebab status kewangan kita semakin kukuh.  Apabila kita guna duit simpanan kita, kebiasaannya ketika musim perayaan, kita diibaratkan telahpun menyembelih angsa emas kita sendiri.

Bagaimana simpanan membantu mengukuhkan status ekonomi kita?


SIMPANAN MEMBERIKAN MOTIVASI

Bayangkan anda bekerja siang malam, hujung tahun, tiada simpanan pun dalam akaun bank anda.  Apakah perasaan anda? Tentu rasa kecewa, penat, rasa macam kerja tidak bermakna dan sia-sia.  Akibatnya, tentulah semangat untuk bekerja ataupun berniaga semakin pudar.  Bila 'keghairahan' dulu tiada lagi, tentulah produktiviti kerja menurun, prestasi perniagaan menurun dan rezeki makin 'ketat'.  Perkara sebaliknya tentu berlaku bila kita mempunyai simpanan yang 'tidak terusik' walaupun bukan dalam jumlah yang besar.  Rezeki pasti akan datang lebih mudah kepada kita bila angsa emas kita semakin gemuk.


SIMPANAN SEBAGAI 'SURVIVOR PLAN'

Dengan adanya simpanan, kita akan sentiasa bekerja ataupun berniaga dalam keadaan selesa kerana kita sedar apapun perkara tidak diduga seperti kena buang kerja atau syarikat ditutup serta-merta, kita dalam keadaan selamat.  Kita sudahpun ada dana untuk menanggung perbelanjaan tetap sementara memperbaiki semula keadaan ekonomi kita. Tapi hakikatnya, dengan tenangnya kita bekerja apabila simpanan tersimpan kemas dalam akaun, rezeki pasti datang melekat-lekat.  Sukar untuk kita perkara-perkara tidak terduga tersebut datang kepada kita.


SIMPANAN MEMBERI KITA PILIHAN

Apabila simpanan anda telahpun mencapai target, ketika inilah anda mempunyai pilihan samada ingin terus bekerja makan gaji atau pun berniaga sepenuh masa dan punya lebih banyak kebebasan masa.  Seronok kan?  Bila berniaga, tentulah rezeki lebih melimpah-ruah seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W, 9/10 dari sumber rezeki adalah dari perniagaan.

Besar bukan fungsi simpanan ini sebenarnya.  The more I learn, the more I earn! 



BERAPAKAH JUMLAH TARGET MINIMUM SIMPANAN ANDA? 

Jumlah simpanan yang terbaik menurut mentor-mentor kewangan adalah 6 kali ganda daripada jumlah perbelanjaan bulanan kita.  

Katakan jumlah perbelanjaan bulanan anda ialah RM 2,000. Maka, jumlah simpanan yang dikategorikan selamat untuk anda adalah RM 2,000  x  6  =  RM 12,000. 

Sekiranya, anda sudahpun mempunyai simpanan seperti di atas, anda sudahpun berada di tahap selamat  dan selesa.  Kenapa?  Sekiranya sesuatu keadaan tidak terduga berlaku kepada anda seperti dibuang kerja atau perniagaan merudum, anda ada masas 6 bulan untuk memulihkan keadaan ekonomi anda kerana anda telahpun ada dana untuk membayar perbelanjaan bulanan anda selama 6 bulan.  

Ini adalah target minimum.  Cuba buat dan anda pasti akan terkejut kerana simpanan anda pasti akan jadi lebih dari itu kerana amalan yang telah terbiasakan.  Kalau ikut orang-orang Cina pula, mereka lebih gemar memilih untuk mempunyai simpanan sebanyak 12 kali ganda perbelanjaan bulanan mereka!!!!




Apapun, yang penting kita bermula.  Asingkan dulu sedikit bahagian untuk simpanan dari pendapatan bulanan anda SEBELUM anda menjelaskan hutang atau berbelanja.  Simpanan yang terbaik adalah 10% dari pendapatan bulanan anda.  Walau bagaimanapun, anda boleh bermula dengan apa sahaja jumlah yang anda mampu.  Sekiranya gaji bulanan anda ialah RM 3,000, sebaiknya anda menyimpan sekurang-kurangnya RM 300 sebulan.  Jika tidak mampu, anda boleh simpan RM100, atau RM30, atau RM 3.  Yang penting, mula.  Jika tak mampu juga, mungkin inilah masanya anda perlu mencari sumber pendapatan kedua. 

Dream big, start small, begin now!!!! 

No comments:

Post a Comment